RSS Feed

Petikan daripada buku Salahuddin-Pejuang pembebasan Hattin dari cengkaman Tentera Salib

PETIKAN DARIPADA BUKU: SALAHUDDIN, PEJUANG PEMBEBASAN HATTIN DARI CENGKAMAN TENTERA SALIB

KARANGAN: DR. ABDULLAH NASIH ULWAN


Telah kita ketahui bahawa kemenangan yang terbesar yang diperolehi oleh Salahuddin di dalam peperangannya bersama tentera salib iaitu peperangan Hattin, di antara kejayaan-kejayaan yang diperolehi ialah dengan membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera salib selepas melakukan pelbagai kerosakan dan penindasan yang dahsyat selama hampir 100 tahun. Sejarah telah merakamkan kekalahan mereka dengan ribuan yang terbunuh, di samping sebahagiannya ditawan dan cedera parah.

Apabila terdapat beberapa factor dan sumbangan ke arah kemenangan ini, maka kita akan membicarakan tentang factor dan sumbangan terpenting yang menjadi strategi bagi Salahudin di dalam kejayaannya melalui peperangan Hattin ini.

Bagaimanapun kita perlu menyedari bahawa factor sebenar kemenangan ini bukan berpunca daripada strategi dan taktiknya sahaja, bahkan ianya adalah kesinambungan daripada sirah Baginda SAW sewaktu peperangan Badar, Ahzab dan Pembukaan Kota Makkah, dan ianya juga berpunca daripada sirah Rasulullah SAW melatih para sahabat-sahabat sewaktu peperangan Qadisiyah dan Yarmuk. Maka jelaslah peperangan ini bukanlah kejayaan Salahudin semata-mata, tetapi ianya adalah pertolongan daripada Allah SWT di dalam menghancurkan musuh-musuhnya disebabkan beliau mengikuti jalan yang telah ditetapkan dan manhaj yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:


40. Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan Kami ialah Allah”. dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya Yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; –

41. Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan.

Sesungguhnya umat Islam di setiap masa dan tempat, ketika mana mengambil petunjuk daripada ayat-ayat ini, lalu mereka beramal di atas factor pertolongan daripada Allah SWT, bersegera ikhlas di dalam mempraktikkannya dan bersungguh-sungguh pula di dalam perlaksanaannya, pasti mereka ini akan mendapatkan apa yang dijanjikan oleh Allah SWT daripada kemulian dan ketuanan yang mereka inginkan. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:


55. Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka.

Berikut merupakan rahsia dan factor kejayaan Salahudin:


1.KETAKWAAN KEPADA ALLAH SWT DAN BEBAS DARI BELENGGU KEMAKSIATAN

Sesungguhnya ketakwaan dan takut kepada Allah, bersangka baik denganNya, meninggalkan laranganNya serta melaksanakan arahanNya merupakan sumbungan utama kemenangan, kerana ianya membawa unsur-unsur ruhiyyah. Kekuatan maknawi sekiranya tersemat di dalam diri tentera Islam yang berperang pada jalanNya, dijadikan kepada diri tentera ini suatu kekuatan yang tidak mengenal erti kelemahan dan kesusahan. Sesungguhnya Allah SWT tidak sesekali membiarkan tenteraNya yang beriman dan mempercayaiNya, yang berpegang teguh denganNya dan sentiasa melaksanakan segala titah perintahNya. Allah SWT akan membekalkan kepada mereka tentera-tentera langit, dan mencampakkan ke dalam hati musuh-musuh dengan perasaan gerun, serta mendatangkan pertolongan diluar jangkaan mereka. Kerana Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:


12. (ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka”

13. (perintah) Yang demikian ialah kerana Sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya; dan sesiapa Yang menentang Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.

firmanNya lagi:


10. dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Daripada contoh-contoh yang disebutkan, jelaslah bahawa Salahudin sangat berhati-hati daripada melakukan maksiat dan kecenderungan ke arah kemunkaran. Selepas dilantik menjadi menteri di mesir, beliau telah menghalang pelbagai perkara maksiat yang telah dilakukan secara terang-terangan. Bahkan peristiwa-peristiwa ini lebih ketara lagi ketika persidangan mesir pada zaman pemerintahan Fatimiah, lebih-lebih lagi ketika musim-musim perayaan seperti perayaan Nairuz. Al-Maqirizi telah menyebut di dalam penulisannya, “…kemunkaran jelas berlaku pada hari tersebut. Pada hari tersebut, pemerintah Nairuz menunggang kuda diiringi tentera-tenteranya yang ramai. Dia mengenakan cukai yang jelas menipu rakyat. Dia menghimpunkan perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki di dalam melakukan kegiatan yang tidak bermoral di bawah Istana Permata, disaksikan oleh khalifah (Fatimiah) ketika itu. Kedengaran pekikan sorak-sorakan, arak di minum di tepi-tepi jalan, air dan arak dituang kepada orang ramai. Sehinggakan seseorang yang keluar daripada rumah pada ketika itu, pasti pakaian akan dibasahi dengan najis-najis arak akibat percikan air-air tadi”…

Adapun perkara yang berkaitan dengan ketaqwaan dan pengabdian dirinya kepada Allah SWT, Al-Qadi Baha’ Addin telah menulis mengenai keimanan dan ketakwaan Salahudin di dalam kehidupannya. berkata Al-Qadi: “….beliau merupakan seorang yang mempunyai hati yang khusuk, seringkali dibahasi dengan air mata, apabila mendengar Al-Quran hatinya menjadi khusyuk, mengalir air matanya…. Beliau banyak mengagungkan syiar-syiar agama. Beliau sangat membenci golongan ahli falsafah yang menyimpang dari ajaran Islam. Apabila beliau mendengar golongan-golongan ini masih ada di dalam kerajaannya pasti diperintahkannya untuk dibunuh….”

Beliau seorang yang mempertahankan Tauhid kepada Allah SWT dan menentang golongan-golongan yang suka melakukan bid’ah. Beliau seorang yang tidak pernah melewat-lewatkan solat, sentiasa bersama-sama mengikut imam ketika solat seharian. apabila imam tidak dapat hadir, beliau akan melaksanakan beberapa solat sunat. Apabila bangun dari tidur beliau akan mendirikan solat beberapa rakaat pada waktu malam sebelum tibanya waktu subuh.

Abu Syamah pengarang kitab (Ar-Raudatain Fii Akhbari daulatain) berkata beliau melihat Salahudin walaupun dalam keadaan sakit tetap berdiri ketika solat. Salahudin tidak pernah meninggalkan solat kecuali 3 hari ketika beliau sudah hilang ingatan. Ketika di dalam perjalanan, apabila tiba waktu solat beliau akan berhenti dan bersembahyang ketika itu juga. Beliau sering berwasiat kepada anak-anaknya supaya bertakwa kepada Allah, melakukan apa yang diperintahkan, menjaga hak-hak dan menjauhi dari kezaliman. Stanley Pool telah menulis mengenai sejarah Islam pernah menyatakan Salahudin telah berpesan kepada anaknya pada suatu hari “ aku mewasiatkan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah, ianya merupakan kunci bagi segala kebaikan, sentiasalah melaksanakan apa yang di perintah oleh Allah, sesungguhnya ia adalah penyelamat bagi kamu, berwaspadalah dengan darah yang melukai, kerana darah tidak pernah tidur, dan aku berwasiat kepadamu senitasa membela rakyat-rakyatmu, sentiasa mengambilberat keadaan mereka, kamu adalah amanahku dan kamu juga amanah Allah ke atas mereka..”

Inilah sifat dan keadaan bagi seseorang pemimpin! Mustahil bagi Allah SWT untuk membiarkannya dalam situasi yang buruk dan suasana yang sukar.

Ibnu Syaddad pernah menyatakan: (Apabila beliau mendengar berita umat Islam dimusnahkan tentera musuh beliau segera sujud dan berdoa kepada Allah SWT dengan doa, “wahai tuhanku, sesunggunya aku gagal di dalam di dalam menyelamatkan agamaMu, tidak ada yang kekal selain Mu, sentiasa berpegangteguh dengan taliMu, serta berpegang dengan nikmatmu, cukuplah Engkau bagiku, dan sebaik-baik pengharapan”. Aku melihatnya ketika beliau sedang sujud, air matanya berlinangan membasahi janggut, jatuh ke sejadahnya, aku tidak dapat mendengar rintihannya, tidak pernah berkurang amalannya sehinggalah beliau mendengar berita kemenangan ke atas tentera musuh.

Manhaj yang digunakan oleh Salahudin adalah manhaj yang dibawa oleh generasi khulafa’ sebelumnya, di mana mereka melatih tentera-tentera dengan ketaqwaan kepada Allah SWT, menjaga diri dari melakukan maksiat dan memastikan umat melaksanakan hokum hakam Islam. Inilah yang dilakukan oleh Saidini Umar Al-Khattab ketika menulis surat kepada Saad bin Abi Waqas sewaktu penaklukan Kota Parsi; Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersamamu supaya bertakwa kepada Allah SWT di dalam apa jua keadaan, sesungguhnya ianya adalah sebaik-baik persediaan berhadapan dengan musuh, sekuat-kuat perancangan ketika peperangan. Aku juga memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersamamu supaya menjauhkan diri daripada terjebak dengan kemaksiatan samada daripada kamu atau dari musuhmu. Sesunguhnya dosa-dosa tentera-tentera lebih merbahaya kepada kamu daripada musuh-musuhmu. Sesungguhnya Allah jualah yang memberi kemenangan dengan dosa-dosa para musuh kamu. Kalaulah bukan dengan demikian, kamu tidak akan mendapat mengatasi kekuatan mereka disebabkan bilangan kamu tidak seperti bilangan mereka dan persediaan kamu tidak setanding persediaan mereka. Oleh itu, sekiranya kita melakukan kemaksiatan sama seperti mereka, nescaya kita akan ditewaskan melalui kelebihan mereka dari sudut kekuatan. Sekiranya ianya adalah sebaliknya, pasti kita berjaya menewaskan mereka dengan kelebihan kita yang tidak dapat mengatasi kekuatan mereka.

Ketahuilah, setiap gerak-geri kamu sentiasa diperhatikan oleh para malaikat Allah. Mereka mengetahui apa jua perlakuan yang dilakukan oleh kamu, oleh itu kamu janganlah merasa rendah diri dengan mereka. Maka jangan kamu berkata: Sesungguhnya mereka adalah musuh kita, mereka jualah yang melakukan kejahatan kepada kita, Allah SWT tidak akan membiarkan kita ditewaskan walaupun kita juga melakukan kesalahan. Allah SWT berhak melakukan apa jua kepada kamu seperti mana yang dilakukan ke atas bani Israel di atas kemaksiatan yang dilakukan mereka.

Mohonlah pertolongan daripada Allah kepada diri kamu sepertimana kamu memohon kemenangan ke atas musuh-musuh kamu. Aku mendoakan kejayaan diriku dan dirimu.

Kesimpulan dari semua ini, sesungguhnya umat Islam tidak akan akan mencapai kejayaan terhadap musuh-musuhnya di mana jua mereka berada melainkan dengan ketakwaan kepada Allah SWT, yakin dan percaya denganNya, mengharapkan pertolonganNya, sentiasa melaksanakan syariat-syariatNya, serta menjauhkan diri daripada melakukan maksiat kepadaNya. Inilah jalan ke arah kemenangan, inilah jalan yang kekal abadi, dan inilah jua jalan ke arah kehidupan yang hakiki.


2. PERSEDIAAN YANG RAPI DAN PRIHATIN TERHADAP ISU PEMBEBASAN

Di antara perkara-perkara yang disepakati para pengkaji sejarah mengenai Salahudin ialah beliau sangat perihatin terhadap isu-isu pembebasan sewaktu pemerintahan di zamannya. Beliau sering memperjuangkan kepada tuntutan ke arah keamanan, ketenteraman dan kemerdekaan Baitul Maqdis. Al-Qadi Baha’ Ad-din, merupakan teman kepada Salahudin pernah menceritakan pendirian beliau di dalam mendesak umat Islam supaya bangun berjuang melalui jihad pada jalan Allah menentang tentera-tentera salib: (Sesungguhnya beliau menjadikan isu pembebasan Baitul Maqdis merupakan tanggungjawab yang berat yang tidak mampu dipikul dengan gunung), dan berkata lagi: (Beliau umpama seorang ibu yang kematian anak, menunggang kudanya dari satu tempat ke tempat lain demi menggesa umat Islam supaya berjihad, merantau di sana sini dengan sendirinya menyeru, “ demi Islam!” Matanya sentiasa berlinangan dengan air mata, selagi mana beliau melihat dari setiap segi dan cubaan untuk mendukacitakan manusia selagi itulah beliau akan mendesak orang ramai berjihad di jalan Allah SWT walaupun dalam pada masa yang sama beliau tidak makan selama seharian. Hanya sekadar minum beberapa cawan air ubat yang diberikan doktor. Saya pernah diberitahu oleh beberapa orang doktornya bahawa daripada hari Jumaat sehinggalah hari Ahad beliau tidak makan kecuali sedikit kerana menyibukkan diri dengan perjuangan.

Demi memperjuangkan tertegaknya kalimah Allah SWT beliau sanggup meninggalkan anak serta isterinya di dalam tempoh yang panjang untuk membebaskan Baitul Maqdis dari cengkaman tentera-tentera salib yang zalim dan menindas mereka.

Selain itu juga beliau mempunyai persediaan yang rapi apabila berhadapan dengan peperangan. Di samping kekuatan kebendaan yang hebat beliau juga mempunyai persediaan dalaman yang sama hebatnya. Sebagai contoh, beliau telah menubuhkan beberapa pusat-pusat ketenteraan di mana bagi setiap pusat-pusat tersebut mempunyai kepakaran yang tersendiri. Di antaranya, para tentera bergerak dari satu barisan ke barisan yang lain bagi memastikan keselamatan kuda terjamin, memperbaiki kelengkapan alat-alat peperangan seperti pedang, pakaian dan beberapa kelengkapan lain. Beliau juga sangat mengambil berat berkenaan pemprosesan senjata-senjata, pembinaan kapal-kapal dan pembikinan bahan-bahan letupan, periuk api serta beberapa alatan-alatan peperangan lain. Beliau juga mementingkan system ketenteraan di laut. Oleh itu, beliau telah menubuhkan satu pusat khas bagi menguruskannya, penggunaannya, serta hal ehwal ketenteraan laut. Mereka yang dilantik sebagai ketua bagi system ini digelar Ketua Laut atau Ketua Air.

Selepas ianya dijadikan perkara yang diberi perhatian lebih dan persediaan yang lengkap, beliau bertindak menyerang musuh dengan iman yang mendalam, serta kepercayaan yang tinggi, sehinggalah berjaya mengalah para musuhnya. Inila penyebab kekalahan tentera musuh, dan mencapai ke arah kemenangan dan kemuliaan.


3. NEGARA-NEGARA ISLAM BERSATU DI BAWAH SATU PEMERINTAHAN

Telah kami nyatakan ketika Salahudin telah memegang jawatan menteri di Mesir sewaktu kematian Khalifah Fatimiah pada tahun 567H, beliau dilantik menjadi pemerintah negara di Mesir. Pada ketika itu, beliau telah meluaskan wilayah penaklukannya dengan menawan wilayah Nubia di selatan Mesir, Yaman dan Hijaz. Beliau juga telah berjaya menjadikan Laut Merah berada di bawah wilayah penaklukannya. Kami juga telah menceritakan sewaktu pemerintah Syria yang bergelar Nurudin telah meninggal dunia, Salahudin bertindak memasuki Syria selepas berlakunya kekacauan dan pemisahan wilayah. Akhirnya, wilayah Syria, Halab dan beberapa buah negeri di Syria di bawah penaklukan Salahudin. Maka pada ketika itu, Salahudin telah berjaya membentuk sebuah kesatuan Islam di bawah satu pemerintahan. Kesatuan ini meliputi selatan Iraq, Kurdistan, Syria, Yaman, Mesir, Barqah dan banyak lagi.

Sememangnya penubuhan kesatuan ini dan pengasasan yang kukuh membawa pengaruh yang besar di dalam usaha pembebasan Baitul Maqdis di bawah cengkaman tentera-tentera Salib selepas beberapa abad yang lalu. Negara-negara Islam yang berada di bawah kesatuan Islam dan system politik yang ditadbir oleh seorang yang diberi kepercayaan untuk mentadbir, berpengalaman, berani dan mempunyai daya kepimpinan yang unggul serta ikhlas di dalam perjuangan, sudah pasti kemenangan berpihak kepada Umat Islam itu sendiri.

Semua ini hanya mampu dilakukan oleh seorang pejuang yang ikhlas di dalam perjuangannya seperti Salahudin untuk menghancurkan tentera-tentera salib dan membebaskan Masjid Aqsa yang merupakan masjid ketiga selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ianya juga merupakan Qiblah pertama bagi umat Islam dan tempat kelahiran Nabi Isa a.s. Inilah juga tempat singgahan Rasulullah SAW sewaktu Isra’ ke langit. Mudah-mudahan Allah SWT merahmatinya serta mengangkat darjatnya di akhirat semulia-mulia darjat


4.BERPERANG DEMI MENINGGIKAN KALIMAH ALLAH SWT

Berpandukan kepada syariat Islam, seorang pejuang diwajibkan membetulkan niat semata-mata kerana Allah sebelum memulakan peperangan atau berhadapan dengan musu-musuh Islam. Seseorang pejuang itu perlu menjauhkan diri dari daripada berperang semata-mata harta rampasan, sifat bermegah-megah, fanatic dan kepura-puraan sehinggalah jihad yang diperjuangkannya benar-benar ikhlas dan semata-mata untuk mendapat keredaaannya kepada Allah SWT. Allah Taala berfirman:


76. orang-orang Yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang Yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.

Begitu juga di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim: ketika ditanya kepada Rasulullah SAW berkenaan seorang lelaki yang keluar berperang dalam keadaan berani, seorang lagi bersifat besar diri serta riyak, adakah mereka semua berjihad di jalan Allah SWT? Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW: Barangsiapa yang berperang semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah SWT maka dia yang berjihad dijalan Allah SWT.

Berasaskan kepada prinsip berperang meninggikan kalimah Allah SWT maka Salahudin mengharungi peperangan berhadapan dengan tentera-tentera Salib. Al-Qadi Baha’ Ad-Din ibn Syaddad pernah menyebut di dalam kitabnya (An-Nawadir As-Sultaniyah) tentang keikhlasan Salahudin ketika berjuang hanyalah semata-mata kerana Allah SWT serta meninggikan kalimahNya. Dia menulis: (akan aku ceritakan apa yang aku dengari daripadanya, iaitu pada bulan Dzul Qa’dah 584H, beliau telah memberikan kepada tentera-tentera Mesir beberapa panduan. Tentera-tentera Mesir diketuai oleh saudaranya Malik Al-Adil. Lalu tentera-tentera mengambilnya ketika pulang ke negara mereka. Beliau bersama-sama mereka mendirikan solat eid di Baitul Maqdis. Ianya berlaku ketika beliau sedang bergerak menuju ke Asqalan dan bertemu mereka di sana. Kemudian beliau bercadang untuk melalui persisiran pantai bagi memeriksa pantai di bandar-bandar, kemudian ke Aka bagi beberapa urusan. Seorang temannya menasihatkannya supaya tidak melakukan demikian disebabkan tentera-tentera salib pasti akan menyerang mereka selepas tentera-tentera Mesir berangkat. Ini akan mengundang bahaya buat mereka. bagaimanapun beliau tidak menghiraukannya dan bertemu dengan saudaranya dan tentera-tentera Mesir. Kemudian kami meneruskan juga perjalanan melalui pantai ke Aka. Suasana ketika itu musim sejuk dan laut bergelora setinggi gunung. Ketika saya sedang merenung keadaan cuaca sebegini beliau melihat kepada saya dan berkata, “Aku akan memberitahu kepada kamu suatu perkara. Sekiranya Allah SWT memberi bantuan kepadaku untuk menakluki sebahagian pantai-pantai ini, aku pasti akan membahagi-bahagikan bandar-bandar (untuk ditadbir oleh anak-anakku), aku akan berwasiat kepada mereka, dan aku akan menjejaki tentera-tentera salib sehinggalah tidak ada lagi di muka bumi ini mereka yang kufur di jalan Allah walaupun aku bertemu dengan kematian”. Kata-kata ini sangat memberi peransang buatku. Lalu Al-Qadi berkata kepada Salahudin, “Kamu seharusnya tidak membahayakan dirimu dan juga tentera-tentera, bagi tentera-tentera merekalah yang akan mempertahankan Islam”. Lalu Salahudin membalas, “Aku ingin meminta pendapat kamu, sekiranya ada dua kematian, kematian apakah yang paling mulia di sisi kamu?” lalu aku menjawab, “Mati di jalan Allah SWT,” lalu Salahudin berkata, “Matlamatku adalah mati dalam keadaan semulia-mulia kematian. Inilah perasaan yang penuh dengan kesucian, serta keberanian yang memberansangkan. Semoga Allah SWT merahmatinya. Ya Allah, sesungguhnya engkau mengetahui akan kesungguhannya menolong agamamu, dan benar-benar mengharapkab rahmat kasih sayangmu, maka rahmatilah beliau.

Kami telah menceritakan bahawa beliau sentiasa bermunajat kepada Allah SWT memberi kemenangan kepadanya di dalam peperangan menentang musuh. Di antara doa-doa yang dibaca seperti: (wahai tuhanku, sesunggunya aku gagal di dalam di dalam menyelamatkan agamaMu, tidak ada yang kekal selain Mu, sentiasa berpegangteguh dengan taliMu, serta berpegang dengan nikmatmu, cukuplah Engkau bagiku, dan sebaik-baik pengharapan). Ini merupakan bukti yang lain bahawa jihadnya semata-mata di jalan Allah SWT.

Di antara bukti-bukti lain yang menunjukkan peperangan beliau adalah semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah SWT ialah beliau seorang yang mempunyai ketokohan malahan kepada musuh-musuhnya sekalipun. Para pengkaji sejarah telah merakamkan samada timur atau barat, Islam mahupun orientalis sikap dan moral yang ditunjukkan oleh beliau. Di antaranya ialah mengedarkan harta-harta dan binatang ternakan kepada golongan yang lemah, kurang upaya dan fakir miskin dari kalangan bangsa Eropah. Dia juga menerima wang tebusan daripada tawanan untuk membebaskan mereka dan lain-lain. Inilah merupakan prinsip yang kekal terpahat di dalam sejarah-sejarah dunia sehinggalah dibaca dari generasi ke genarasi akan datang.

Philips Hatti pernah menyatakan penghormatan beliau kepada Salahudin: (Suatu perbezaan yang ketara di antara hubungan Salahudin dengan kehidupan orang Islam dan bangsa Eropah selama lapan puluh lapan tahun). Kebanyakannya kami telah nyatakan di dalam kajian (politik Salahudin berhadapan dengan tentera Salahudin) yang menceritakan tentang kasih sayang Salahudin dengan para tawanan dan hubungan yang baik bersama wanita, kana-kanak, dan golongan tua.


5. ISU PEMBEBASAN ADALAH ISU ISLAM DAN UMAT ISLAM

Syariat Islam telah menyatakan apabila kaum kafir menceroboh tanah air orang Islam, maka diwajibkan ke atas semua umat Islam dari seluruh pelusuk dunia Islam bangun bersatu menentang pencerobohan oleh musuh-musuh Islam. Sekiranya masing-masing membatasi dan mengabaikan kewajipan ini, umat Islam seluruhnya samada timur atau barat bertanggungjawab di atas pengabaian mereka dan akan dihinakn dengan azab seksaan yang pedih. Firman Allah SWT:


39. jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Dan lagi firmanNya:

41. pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Bermula dari prinsip inilah, Salahudin telah menghimpunkan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa, warna kulit dan bahasa supaya berada di bawah panji kesatuan Islam menentang tentera-tentera salib yang zalim terhadap Baitul Maqdis, di mana ianya merupakan tempat kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat persinggahan baginda Rasulullah SAW sewaktu Isra’ ke langit.

Mengapa umat Islam tidak boleh bersatu bagai seorang pahlawan? sedangkan Allah SWT menjadikan Islam sebagai ukhwah kasih sayang seumpama jasad yang satu, apabila terluka salah satu anggota, seluruh anggota turut merasai kesakitan itu.

Mengapa tidak? Sesungguhnya Islam telah menghimpunkan mereka di bawah satu bendera walaupun berbeza bangsa,warna kulit dan bahasa, tidak ada kelebihan samada bagi orang arab mahupun bukan arab, putih atau hitam melainkan dengan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Mengapa tidak? Sedangkan mereka adalah keturunan satu aqidah, satu agama dan satu al-quran. Hati-hati mereka telah disatukan dengan Islam dan dan panji tauhid.

Mengapa tidak? Sedangkan setiap persegi bumi yang berzikir dengan nama Allah SWT merupakan bumi mereka, tempat tinggal yang mengibar bendera-bendera Islam adalah adalah tempat tinggal mereka. Salah seorang penyair menyebut:

Tanah airku adalah Islam,

Samada Syria atau Perlembahan Nil,

Setiap negeri yang berzikir dengan nama Allah,

Nescaya itu adalah tanah airku.

Mengapa tidak? Setiap daripada tentera-tentera salahudin sentiasa mengharapkan Syahid di jalan Allah SWT, sehinggalah mereka benar-benar bertemu dengan syahid di medan peperangan, penyair pernah menyebut:

Aku tidak peduli diriku mati dalam keadaan Islam,

Walaubagaimanapun aku tetap akan mati.

atau dia mengulangi, “aku bersegera kepada keredaanmu tuhanku” atau “demi Tuhan Kaabah, Aku telah Berjaya”.

Inilah yang disertakan oleh tentera-tentera Salahudin kepada setiap orang Islam yang beriman kepada Allah SWT, Islam sebagai agama, dan Rasulullah SAW sebagai nabi dan rasul. Dari kerana itulah, isu yang diperjuangkan oleh mereka hanyalah Islam sebagai matlamat utama, dan isu umat Islam samada timur atau barat.

%d bloggers like this: