RSS Feed

Dasar Ekonomi Negara: Realiti Semasa dan Peranan Profesional Muda

Posted on

sumber : sini

SIAPAKAH PROFESIONAL?

Secara umumnya, “profesional” merujuk kepada orang yang berkemahiran dalam sesuatu perkara, samada kerana kelulusan atau penumpuan kerja yang berterusan  atau juga seseorang yang melakukan kerja yang khusus secara giat dan bermutu.

Lantas, pemain bola, pemuzik, pelukis dan penerbit filem juga dikelaskan sebagai professional.

Bahkan kini, sudah wujud penjenayah profesional.

Saya menganggap sahabat Nabi s.a.w seperti Bilal, Khalid Al Walid, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abdul Rahman bin Auf, Mus’ab bin Umair adalah contoh tokoh professional.

Keprofesionalan Bilal dalam azan sampai sahabat hanyut dalam tangisan teringatkan Rasulullah s.a.w sepeninggalan baginda bila Bilal mengumandangkan azan.

Sa’ad bin Abi Waqqas berjaya membina 40,000 buah rumah sewaktu beliau menjadi gabenor kufah.  Khalid Al Walid mendapat gelaran pedang Allah kerana strategi perang beliau yang mengkagumkan.

Mus’ab bin Umair berjaya mengislamkan pemuda Madinah sebelum Nabi berhijrah. Salman Al Farisi membawa idea baru dalam strategi perang Khandak.

Abdul Rahman bin Auf hanya mahu ditunjukkan oleh Sa’ad bin Rabi’ al- Anshari RA di mana pasar untuk berniaga kemudian muncul sebagai jutawan yang mampu menderma sampai ratusan ribu dinar, antaranya 700 unta bermuatan penuh kepada penduduk kota Madinah; 400 dinar untuk setiap bekas pejuang al-Badar yang pada ketika itu seramai 100 orang (RM 26.84 juta); serta 40,000 dinar (RM 26.84juta), 500 ekor kuda (RM 5 juta) , dan 1,500 unta (RM 4.5 juta) kepada pejuang .

Tradisi melaksanakan kerja berfokus, berkemahiran dan bersungguh-sungguh hasil sinar keimanan yang memancar itu dilanjutkan dalam generasi kemudian.  Imam Bukhari adalah tokoh pengumpul dan penyemak hadis yang sangat piawai dan sanggup  mengembara ribuan batu dalam tugasnya yang penuh professional hingga kitab Bukhari diiktiraf menduduki tempat kedua selepas Al Qur’an.

Kini, professional Melayu berjumlah 40% dari bilangan professional di negara ini.

Jika kita menggunakan Islam selain Melayu, jumlahnya tentulah lebih tinggi kerana bilangan orang Islam di negara ini lebih tinggi dari bilangan orang Melayu.

PROFESSIONAL MELAYU: UNTUK POLARISASI ATAU PERPADUAN?

Sebelum saya menjawab pertanyaan ini, izinkan saya membincangkan tunjang penting peribadi profesional muslim;

A. Untuk kebaikan awam / public interest
B. Adil
C. Jujur dan benar
D. Berwawasan

Saya meletakkan keprihatinan terhadap kemaslahatan awam di tempat yang pertama kerana semua tindakan mereka yang tergolong sebagai professional akan memberikan kebaikan atau keburukan secara langsung kepada masyarakat.

Pelan yang tidak sesuai boleh menyebabkan sebuah stadium runtuh.  Kos pembinaan sesuatu projek boleh menjadi lebih mahal atau lebih murah mengikut bagaimana tenaga profesional mengaturnya.

Selain dari baik buruk kesannya kepada masyarakat hasil dari urusan kerja para tenaga profesional, mereka juga harus menjadi salah satu tonggak reform masyarakat.

Dalam konteks ini, pengorbanan eksekutif google Mesir, Wael Ghanim dan pemuda profesional muda seangkatan beliau baik di Mesir mahu pun Yaman adalah ikonic.

Jika tidak, apa gunanya kemahiran professional mereka?

Penyendirian dari arus masyarakat adalah keburukan yang pertama.  Berdiam diri terhadap kepincangan bererti menempah keburukan yang lambat laun akan menimpa diri kita sendiri.

Mari kita tinjau kedudukan ekonomi semasa negara kita kini dalam beberapa sudut;

Dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal, Malaysia berada di kedudukan 37 dengan KDNK berjumlah USD 237 bilion dan pendapatan perkapita berjumlah USD 7,775.00, iaitu pada kedudukan ke 65.  Kedudukan Malaysia dari segi KDNK (nominal) perkapita ini berada empat anak tangga di bawah purata pendapatan perkapita dunia.  Berdasarkan angka-angka tersebut, pencapaian ekonomi negara adalah masih di peringkat sederhana, malah masih jauh untuk menyaingi negara-negara industri baru seperti Hong Kong, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.

Dalam laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, hutang negara berbanding dengan KDNK berada di paras 53.7 %, iaitu satu kedudukan yang cemas bagi sesebuah negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia.  Kesemua situasi seperti ini dapat disimpulkan dengan pandangan Idris Jala bahawa hutang negara boleh mencapai RM 1 trilion menjelang 2019 yang boleh membawa kepada muflis.

a. Jurang antara kaya dan miskin yang semakin melebar

Menurut laporan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu tentang pembangunan manusia (UNHDP) pada tahun 2004, jurang pendapatan antara golongan kaya dan golongan miskin adalah yang terburuk di asia tenggara dan antara yang terburuk di Asia.

Dilaporkan juga bahawa 10% golongan terkaya di Malaysia menguasai 38.4% pendapatan ekonomi negara.  Siapakah mereka? Dalam kehidupan seharian kita, kita mengenali sebahagian mereka.  Sesetengah dari mereka tidak mempunyai kelulusan professional apa-apa tetapi lebih professional dalam menebuk peluang untuk mengaut kekayaan dari khazanah negara, bukan berasaskan merit tetapi ikatan kepentingan.

Lihat laporan Global Financial Integriti (GFI) bahawa wang negara kita telah dialihkan keluar sebanyak USD 291 bilion atau RM 889 bilion pada tempoh 2000 hingga 2008.  Mulanya dinafikan tetapi kemudian PM sendiri mengakuinya.  Wang siapa?  Tentunya bukan wang kita semua tetapi wang segelintir yang menjadi kaya kerana ketempangan sistem negara kita.

Dilihat dari segi pendapatan, seperti yang dilaporkan baru-baru ini, 40% daripada pendapatan isi rumah di Malaysia berada di bawah RM 1,500.00 dan 60% berada di bawah RM 3,000.00.  Penyakit yang telah sedia wujud semenjak merdeka ini sebenarnya semakin parah.

Dengan kenaikan kos hidup terutama segmen pengguna, sudah tentu tekanan kian terasa.

b. Jurang pembangunan antara wilayah yang tidak seimbang

Selepas merdeka dan pembentukan Malaysia, negara kita menghadapi masalah ketidakseimbangan dalam pembangunan antara wilayah, antara bandar dan luar bandar, antara pantai barat semenanjung dan pantai timur serta antara Malaysia barat dan Malaysia timur.  Semasa era pemerintahan Perdana Menteri kedua, usaha-usaha telah diambil untuk mengurangkan jurang perbezaan ini dengan program pembangunan wilayah, perbandaran luar bandar dan lain-lain.  Bagaimanapun, selepas era itu tidak kelihatan usaha yang jelas untuk mengurangkan jurang ini.  Bandar-bandar utama seperti di Lembah Kelang, Johor Bahru dan Georgetown terus mengalami proses urbanisasi yang begitu pesat sedangkan kawasan-kawasan luar bandar terus tertinggal.

c. Daya ketahanan ekonomi yang rapuh

Sektor pertanian atau lebih khusus pengeluaran makanan negara masih belum menampung keperluan sendiri.  Seperti yang dimaklumi, sektor ini merupakan pertahanan yang terpenting kepada ekonomi negara khususnya ketika menghadapi saat-saat getir kegawatan ekonomi.  Masyarakat Malaysia sentiasa terdedah dengan turun naik harga barangan makanan dunia disebabkan kebergantungan kepada negara lain.  Dari segi pengeluaran beras, sehingga hari ini Malaysia belum pun mencapai sasaran 70% pengeluaran beras tempatan, manakala komoditi makanan yang lain seperti perikanan dan penternakan peratus kebergantungan kepada import masih begitu tinggi.

d. Ketirisan perbelanjaan awam

Gejala penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan antara penyakit ekonomi yang begitu parah di negara ini.  Menurut laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, sebanyak RM28 bilion telah tiris dalam perbelanjaan dana awam, manakala menurut Brain Wain pula sebanyak RM 340 bilion ketirisan berlaku sepanjang pemerintahan Mahathir Mohammad.  Laporan Global Financial Integrity (GFI) pula mendakwa sebanyak RM 889 bilion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh lapan tahun antara 2000 hingga 2008.  Ketirisan seperti ini bukan sahaja merugikan negara dan rakyat, tetapi juga mengurangkan daya saing Malaysia untuk menarik pelaburan.

e. Peningkatan berterusan kos hidup

Menurut laporan majalah International Living tahun 2010 kos hidup di Malaysia berada pada kedudukan ke-21 paling tinggi di dunia, lebih baik daripada kedudukan pada tahun 2009 di kedudukan ke-13.  Kenaikan mendadak barang-barang keperluan termasuk harga rumah, akan menjadikan kos hidup rakyat semakin tinggi sedangkan pertambahan pendapatan agak perlahan.  Dilaporkan, buat masa ini 50% hingga 60% pendapatan rakyat Malaysia digunakan untuk membeli makanan dan peratusan ini boleh mencapai 80% dengan kenaikan barangan yang berterusan.  Situasi ini menyebabkan sebahagian besar pendapatan bulanan dihabiskan untuk menampung kehidupan dan simpanan isi rumah di Malaysia sangat terbatas.

Secara ringkas, di sebalik kekayaan negara yang melimpah ruah, kenapa kita berada antara cemas dan lega?  Lega dari khabar indah bila mana slogan-slogan baru dilancarkan dan “drama kejayaan” dipentaskan oleh media.  Cemas bila kita merenung dengan mata hati keadaan negara kita yang sebenarnya.

Bersandarkan kekayaan minyak sahaja, seluruh rakyat malaysia boleh menikmati kehidupan yang jauh lebih selesa jika sekiranya musuh utama tamadun madani manusia iaitu rasuah berjaya diperangi.

Slogan dan cogankata silih berganti tetapi inti amalan kronisme masih tidak berubah. Kalau semasa Pak Lah menjadi PM, SCOMI mendapat kontrak PETRONAS.

Kini Kencana Petroleum Berhad yang di CEO kan oleh Mirzan pula mendapat telaga minyak marginal bernilai berbillion ringgit.  Bapanya masih bersandar di kerusi Penasihat PETRONAS.

Saya mengenali satu syarikat profesional melayu yang berjaya dalam industri petroleum di Asia Tengah tetapi tidak pernah mendapat peluang dalam negara mereka sendiri!

Pengkalan TUDM bernilai billion ringgit diberi “percuma” tanpa aturan telus dan informatif, melambangkan aspek governance Najib sama buruk dengan Pak Lah dan Mahathir.

Nah! Dengan senario sebegini, apa pilihan anda professional muda?

Bolehkah atas semangat Melayu semata-mata, kita menyelesaikan kemelut ini?

Jawabnya , tidak mungkin.  Kita memerlukan anjakan dari kemelayuan semata-mata kepada keIslaman.

Jika kita menjadikan Islam sebagai sandaran pergerakan professional muda Malaysia untuk 20 tahun akan datang bagi satu reformasi menyeluruh berdasarkan teras berikut;

Tiga musuh utama Malaysia;

1.    Korupsi dan Kronisme
2.    Hilangnya Rule of Law
3.    Perjuangan berasaskan sentimen ras semata-mata, oleh mana-mana jua pihak dalam negara kita

Tiga tonggak utama yang perlu dibangunkan;

A.    Memulihkan Rule of Law dan kredibiliti semua institusi utama negara
B.    Media yang adil, bebas dan progresif
C.    Kepimpinan yang bersih dan jujur

AKHIR

Dalam menuju pusingan akhir pembentangan ini, saya akan mencadangkan dua perkara;

A. Anda semua menjadikan budaya dinar dan dirham (d n d) sebagai gaya hidup moden.  Ia baik untuk kedudukan kewangan anda

B. Menjadikan satu dari resolusi seminar hari ini untuk menghidupkan semula Majlis Perundingan Petroleum Negara.

Kini, diizinkan saya membawa hadhirin meninjau sekejap ekonomi negara kita dalam konteks global.  Dalam kesempatan yang ringkas ini, saya hanya tumpukan kepada kedudukan kita berkait dengan ekonomi dan kewangan Amerika yang dialun gelombang dan krisis.

Kita ambil kedudukan Dollar Amerika, yang secara sekali gus memberikan kesan kepada angkubah ekonomi dunia yang lain.

Hutang yang ditanggung oleh Amerika mencecah sehingga USD 12 Trillion hampir mustahil untuk dibayar memandangkan penambahan hutang meningkat dari tahun ke tahun.

Ketenatan Amerika amat ketara lagi apabila Center on Budget and Policy Priorities, Washington, D.C. menyatakan bahawa 46 negeri berhadapan kekurangan bajet untuk 2011 sehingga mencecah USD 160 billion yang mana belum mengambil kira defisit 2010.

Situasi yang menakutkan para ekonomi Amerika pada ketika ini adalah kejatuhan ekonomi Amerika akan dijangka berulang sekali lagi berdasarkan sejarah hitam yang pernah dialami pada tahun 1937 – 1942 seperti mana dilapor :

.. As the wall street journal reported:

“over the last year the stock market has followed a path eerily similar to 1937. First, a strong, rapid run to a recovery high – same pace, same magnitude. Then a correction – again, the same. Will we continue on the path that led the correction of 1937 into a collapse in 1938?”

Mengambil kedudukan nilai Dollar pada hari ini, dengan kejatuhan nilai matawang tersebut nilai emas dan perak yang mengalami lonjakan sejak 10 tahun dulu.

DINAR DAN DIRHAM

Syiling Emas yang dikenali sebagai Dinar dan Syiling Perak yang dikenali sebagai Dirham adalah satu penyelesaian kepada kejatuhan ekonomi Amerika dan alternatif yang signifikan sebagai menggantikan kebergantungan kita terhadap USD Dollar .

Tanggal 20 Sseptember 2006, Kerajaan Kelantan telah melancarkan syiling emas yang dinamakan sebagai emas dinar kelantan (EDK).   Manakala pada 12 Ogos 2010 , bersamaan 2 Ramadhan 1431 H, di samping memperkasakan dinar, dilancarkan satu lagi pelengkap syiling yang lebih kecil daripada Dinar iaitu Dirham (perak).

Dinar Kelantan (emas) dan Dirham Kelantan (perak) masing-masing mengikuti piawaian antarabangsa iaitu World Islamic Mint yang selari dengan ukuran yang telah digariskan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a serta dituruti oleh ulamak masa kini.  Ukuran 1 Dinar adalah bersamaaan 4.25 gram emas 22 karat manakala 1 Dirham adalah bersamaan 3.0 gram perak tulen.

Dalam keadaan ini, Kerajaan Negeri Kelantan sedang menerajui satu langkah yang praktikal bagi mengembalikan kegemilangan perekonomian Islam yang berteraskan penggunaan matawang emas bagi menggantikan dominasi Amerika terhadap ekonomi dunia sekarang ini.

Boleh juga ditakrifkan sebagai satu gerakan revivalist ke arah penggunaan dinar bukan sahaja sebagai satu nilai pelaburan tetapi meninjau pelbagai aspek penggunaannya dalam ruang lingkup undang-undang negara.

Disebabkan nilai intrinsicnya serta sifat anti-inflasinya menyebabkan ramai mula berpaling semula kepada emas di tengah kegawatan ini.

Harga emas meningkat naik dari masa ke semasa sekaligus secara langsung harga Dinar akan terus meningkat sepertimana peningkatan nilai Dinar Kelantan yang amat menakjubkan untuk tempoh 5 tahun pelaksanaannya dari tahun 2006 hingga 2011 iaitu sebanyak 108 %.

PETRONAS

Point terakhir yang saya ingin kongsikan dengan anda semua ialah: adakah sejak 20 tahun lalu PETRONAS menjual hasil petroleum kita lebih rendah dari harga pasaran???

Adakah PETRONAS terikat dengan Forward Trading dengan memeterai perjanjian jualan hadapan hasil petroleum kita dengan harga lama?  Dengan kenaikan harga petroleum dunia yang tinggi kini, kita telah mengalami kerugian yang sangat besar jika benar ini berlaku.

Kita mengangkat isu ini untuk mendapat penjelasan PETRONAS.

Bagi merungkai misteri seperti ini, Majlis Perundingan Petroleum seperti kehendak Akta Kemajuan Petroleum 1974 hendaklah ditubuhkan semula.  Ia telah dimatikan oleh Mahathir sewaktu beliau menjadi PM sedangkan majlis ini adalah kehendak undang-undang seperti akta berkenaan.

Saya petikkan di sini;

Majlis Penasihat Petroleum Negara

5. (1) suatu majlis yang dinamakan Majlis Penasihat Petroleum  Negara hendaklah ditubuhkan yang terdiri daripada orang termasuk Mereka dari negeri yang berkaitan yang dilantik oleh Perdana Menteri.

(2) menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya.

Jika majlis ini wujud, wakil bagi negeri-negeri wujudnya pengeluaran petroleum ini boleh lah dilantik dan dengan itu kita berharap kekayaan petroleum kita dapat dijanakan dengan lebih saksama, inklusif dan demokratik.

Keuntungan yang diisytiharkan oleh PETRONAS dalam tempoh masa lima tahun  dari 2006 hingga 2010 iaitu sebanyak RM 397.6 bilion sepertimana berikut;-

Profit before taxation  –

2006 = RM 69.4 bilion
2007 = RM 76.3 bilion
2008 = RM 95.5 bilion
2009 = RM 89.1 bilion
2010 = RM 67.3 bilion

Manakala sumbangan PETRONAS yang telah diberikan kepada Kerajaan Pusat sejak penubuhan sehingga 2010 adalah sebanyak RM 529.9 bilion.

Saya memetik satu rangkap sajak oleh seorang penyair indonesia yang telah mati dibunuh oleh rejim Suharto sebaik beliau mengungkapkan sajak ini;

Hanya satu kata Ubah!

Sekian. Wallahu a’lam.

*Dibentangkan sempena Konvensyen Profesional Muda Melayu Kebangsaan 2011 di Kolej Universiti Islam Selangor pada 2 April 2011. Dipetik dari blog Husam Musa (gambar kiri), EXCO kerajaan Kelantan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: