RSS Feed

IAS

Posted on

Apabila Ibrahim Abu Shah tidak lebih…

Ahmad Lutfi Othman
SELALUNYA hari Rabu agak lapang buat saya dan rakan-rakan editorial Harakah. Tiada deadline pada hari itu. Kesempatan untuk melepaskan lelah seketika. Juga memanfatkan waktu luang untuk mencari informasi secara lebih santai. Walaupun masih bercuti sehingga akhir Ramadan nanti, saya cuba hadir ke pejabat, agar tidak terputus denganperkembangan semasa, juga mengatur perencanaan lobi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Kaki saya masih lemah. Terpaksa mengajak sahabat baik menemani. Agak lama tidak menjengah kedai buku. Di waktu ilmu dan maklumat “bertebaran” di alam maya, atau semudah di hujung jari, saya masih selesa dengan buku.

Dan buku bagi saya tidak dapat menggantikan internet. Ia lebih asyik dan mengesankan.

KURANG MESRA

Membaca di hadapan komputer mungkin baik untuk menangkap info terkini, lintasan berita tetapi saya masih kurang mesra untuk mengunyah dan menghadam ilmu melalui cara itu. Banyak bahan internet agak tohor nilai ilmunya; penggarapannya seperti tergesa-gesa.

Antara lokasi popular saya adalah Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya. Tengah hari Rabu lalu saya berhasrat untuk singgah di situ. Kampus tertua di Lembah Pantai itu rupanya sesak. Patutlah, ada pesta konvokesyen (bukan pesta ilmu!).

Parkir berdekatan kedai buku penuh dengan gerai-gerai jualan. Saya tidak boleh berjalan jauh, walaupun dibantu tongkat hadiah teman lama sekampus dulu, sama-sama aktif gerakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak. Hasrat untuk “menggelidah”kedai buku UM terbantut. Tak terlarat nak mengheret kaki di celah-celah keriuhan.

Semasa melewati Dewan Tunku Canselor (DTC) yang sesak dengan siswazah dan keluarga yang mahu bergambar kenangan, teringat peristiwa lebih 20 tahun lalu.

Malam itu, DTC menjadi saksi himpunan tunjuk perasaan mahasiswa membantah konsert Sheila Majid, juga sewaktu pesta konvo. September 1989, saya hadir selepas solat Isya sebagai wartawan yang baru berkhidmat dengan Harakah. Saya memang diamanahkan untuk mengendalikan kolum siswa.

Mungkin kepada editor Harakah, Zin Mahmud, pengalaman sayasebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) 1985-86 boleh membantu.

BUKAN TENTANG KONSERT

Zahirnya isu penentangan pelajar adalah konsert. Namun asas bantahan bukan sangat kepada persembahan Sheila Majid tetapi lebih kepada sikap hipokrasi universiti dalam menangani penganjuran aktiviti kampus.

Kegiatan yang menyuburkan daya intelektualisme dan budaya ilmu, seperti seminar, konvensyen dan forum-forum isu semasa dilarang atau sekurang-kurangnya menghadapi laluan sukar untuk diluluskan urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Penceramah atau penalis parti pembangkang seperti diharamkan terus. Sebaliknya, aktiviti hiburan seperti konsert begitu mudah dilepaskan. Tidak banyak soal jawab.

Saya kira aktivis pelajar Islam juga mendambakan aktiviti santai yang menghiburkan jika dilaksanakan dalam batas akhlak luhur.

Dalam kes protes konsert itu, mesej yang mahu diluahkan kepada dunia luar adalah mengapa pentadbiran HEP tiba-tiba menjadi begitu tertutup apabila diajukan permohonan program yang dikira dapat menyegarkan idealisme universiti itu sendiri.

Sebaliknya, minda masyarakat diasak dengan tohmahan oleh tukang canang pihak penguasa  bahawa Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) hanya sibuk-ghairah bantah konsert hiburan – lalu dilabelkan mereka jumud, fanatik, berfikiran tertutup dan antihiburan.

DEMONSTRASI YANG MENGEJUTKAN

Protes yang didahului solat hajat di perkarangan DTC itu memang mengejutkan. Dikepung puluhan anggota Unit Tindakan Ringan polis sambil diperhatikan pasukan keselamatan universiti, demonstran — majoritinya mahasiswi — tidak berganjak walaupun diberi amaran awal bahawa mereka akan digempur jika tidak bersurai.

Saya sendiri agak kaget dengan keberanian mereka. Pelajar hanya bersedia berkompromi jika konsert yang sedang berlangsung dalam DTC ditamatkan. Satu syarat yang cukup mencabar keegoan pentadbiran universiti.

Polis selamanya memang sukar memahami bahasa diplomasi. Mereka diajar untuk menurut perintah dan kehendak elit penguasa, tidak kira apa implikasinya.

Akhirnya rempuhan secara kasar (dan itulah pendekatan tradisi polis, lihat saja tangkapan ke atas himpunan vigil anti-ISA di seluruh negara, halangan ceramah Pakatan Rakyat di Johor dan program berkaitan Felcra di Perak, baru-baru ini) dibuat.

Ramai yang ditangkap, termasuk pengunjung awam pesta konvo. Memang ia satu berita besar buat saya sebagai pemberita yang mengendalikan kolum siswa. Apa pun saya tidak dapat pulang awal ke pejabat di Jalan Pahang kerana “terpaksa” menjadi penjamin salah seorang pelajar yang ditahan di balai polis Jalan Pantai Baru.

Saya bukan saja tidak kenal pelajar berkenaan malah tidak perasaan pun namanya. Yang penting, pelajar itu tidak wajar dibiarkan bermalam dalam lokap.

PENCEROBOHAN POLIS

Harakah memberi liputan besar penangkapan dan pencerobohan polis itu. Banyak foto-foto menarik kami petik dari akhbar Cina. Satu muka penuh disiarkan.

Jurugambar amatur bersama saya tidak dapat merakam sudut-sudut menarik, apatah lagi kameranya pun begitu “ketinggalan zaman”.

Jelas, universiti sudah lama hilang autonominya. Lebih teruk perbezaan pandangan jarang disanggah dengan pendapat lebih bernas. Hujah pelajar yang konkrit dihadapi dengan tekanan, ugutan dan intimidasi.

Malam itu, tragedi lebih dahsyat lagi apabila polis diperkakaskan, walaupun pendekatan berhikmah lain masih boleh digunakan.

Kisah tidak berakhir pada malam bersejarah itu sahaja. Saya langsung tidak menduga nama saya tersenarai dalam operasi borong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama empat lagi pemimpin kanan PMIUM (hanya dua daripadanya dapat ditahan).

Sewaktu mahu memperbaharui jaminan terhadap seorang pelajar yang ditahan seminggu sebelum itu, di Balai Polis Brickfield, saya diminta masuk ke sebuah bilik, lantas seorang pegawai polis membacakan perisytiharan kuasa mutlak akta rimba itu.

Ya, siapa yang tidak terkejut …  tapi saya lebih tidak menduga polis mencari jalan mudah memberkas saya ketika berkunjung ke kubu sendiri. Senangnya kerja!
II.

Yang dapat Rabu itu hanya penat, apatah lagi sudah lama tidak meredah kesesakan lalulintas, walaupun hanya duduk di sebelah pemandu.

Memang Kuala Lumpur menagih perencanaan sebelum kita bergerak menuju ke sesuatu destinasi. Jika tidak, seperti yang saya perolehi hari itu, sekadar lenguh anggota badan sahaja.

Malam itu saya mahu tidur awal tetapi diganggu SMS seorang kawan jam 11.15: “Saifuddin Abdullah dan Ibrahim Abu Shah, program Soal Jawab TV3”.

SAIFUDDIN YANG MENGUJAKAN

Walaupun agak lewat kerana program bermula jam 11 malam, tapi saya bingkas bangun, kerana teruja dengan nama Saifuddin, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, seorang tokoh yang sinonim dengan tuntutan agar belenggu kampus ditamatkan.

Saya sudah merasakan bahawa mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, Ibrahim,  akan bertindak tidak lebih daripada “kehebatan” seorang ketua Umno cawangan diceruk kampung, manakala Saifuddin, walaupun seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno, tapi dijangka mempertahankan hak dan kepentingan mahasiswa, selain terpaksa menjadi pemimpin “pembangkang” kepada menterinya sendiri, Mohamed Khaled Noordin!

Andaian saya agak menepati sasaran. Saifuddin  nampak cukup tenang, mengatur bicara secara tersusun, mengemukakan hujah bagai cendekiawan, manakala Ibrahim sekadar memomokkan pandangan dangkal dan mencerminkan kebebalan yang tinggi menggunung.

Saya hairan bagaimana beliau dianugerahkan darjat profesor (pastinya pangkat naib canselor tidak lebih daripada jawatan politik),  yang sepatutnya dimiliki para sarjana ulung yang disaring daripada kelompok the best minds.
Anda pastinya terkejut jika sempat mengikuti pengalaman buruk pelajar-pelajar UiTM yang dilihat mempunyai idea berbeda dengan elit pemerintah.

UiTM TERKENAL KERANA MENDERA PELAJARNYA

Sekurang-kurangnya itulah yang saya rasakan bila pertama kali didedahkan dengan taktik licik-kotor pentadbir UiTM bagi mengekang gerakan pelajar di zaman Ibrahim.

Pengganti beliau cukup padan apabila mewarisi “bebalisme” dan terus menghina keupayaan mahasiswa untuk terlibat dalam perkembangan semasa di luar kampus. Rujuk wawancara Mingguan Malaysia dengan Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Malam itu Saifuddin memang bintang dan wira bagi gerakan pelajar. Beliau mencadangkan, selain guru, pensyarah patut diberi peluang bergiat aktif dalam parti, manakala mahasiswa dipertimbangkan untuk terbabit menjadi ahli parti politik.

“Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberipeluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian,” katanya.

Kerajaan, tambah beliau, wajar menerima mahasiswa sebagai rakan kepemimpinan, selain menghargai peranan pelajar sebagai sebahagian masyarakat sivil yang mempunyai tugas penting dalam sistem demokrasi.

Apabila Ibrahim cuba mencari daleh di sebalik artikel seorang pemimpin pelajar, yang mahukan “mahasiswa tidak diganggu pemimpin politik”, Saifuddin tangkas memintas.

Bagi timbalan menteri yang mula memperkenalkan kembali Sudut Pidato (yang juga diakuinya penuh kekangan mengarut) itu, pandangan aktivis pelajar yang menjadi sandaran Ibrahim merupakan aliran lama yang ketinggalan zaman.

Agak kerap Saifuddin menyindir Ibrahim, yang kata beliau, sepatutnya lebih bersikap terbuka, berjiwa besar dan berlapang dada. Apa pun saya tak pasti sama ada Ibrahim terasa dengan kilasan itu, atau sudah “tebal telinga”.

SYUKUR KONTRAK IBRAHIM TIDAK DISAMBUNG

Malah, Saifuddin seperti melahirkan “kesyukuran” di awal program apabila merujuk Ibrahim yang tidak disambung kontrak sebagai Naib Canselor UiTM selepas memegang posisi strategik itu selama sembilan tahun! (Apa pun saya kira masih ramai pentadbir utama di universiti-universiti awam yang mempunyai mentaliti hampir sama dengan Ibrahim).

Ibrahim mendakwa kebanyakan mahasiswa yang aktif di kampus dari kumpulan anti-establishment, yang bersikap rebellious. Justeru, kecenderungan itu mesti disekat.

Sedangkan bagi Saifuddin, soal itu bukan isu besar. Yang penting  kita mesti menghargai hak mahasiswa dan apa jua pilihan mereka. Tambahnya, tidak ada statistik yang menunjukkan bahawa mahasiswa yang terlibat dengan politik di universiti terkemuka, seperti di Yale, Harvard, Oxford dan Cambridge, menyebabkan rankingnya jatuh.

“Saya yakin, walaupun mahasiswa dibenarkan berpolitik, mereka nantinya lebih suka bersikap non-partisan. Mereka akan lebih tertarik dengan politik ilmu, dan bukannya politik ampu,” tegas Saifuddin.

Beliau turut tidak bersetuju dengan pendekatan legalistik yang sering diamalkan pentadbir universiti ketika mengendalikan konflik kampus. Baginya, jika pelajar dibenarkan menjadi ahli pertubuhan politik, tiada syarat perlu dikenakan kerana  peraturan sedia ada sudah mencukupi.

Malah Saifuddin sebelum itu secara terbuka mahu peruntukan mengongkong dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan.
III.

Kempunan kerana tidak sempat memborong buku Rabu itu, saya membelek-belek koleksi lama. Saya kira ramai seperti saya juga; banyak buku yang dibeli tidak sempat dijamah dan terperuk dalam timbunan.

TIADA LAGI DEBAT ILMIAH DI KAMPUS

Menunggu masa lapang untuk menghadamnya hanya impian semata. Tersua buku “Mengangkasa Pengajian Tinggi” oleh teman lama, Zaini Ujang, kini Naib Canselor UTM.

Kebetulan, ketika mengulas syarahan perdana Zaini sebagai VC bertajuk “Universiti, Kreativiti, Inovasi” pada 11 Ogos 2009, saya dalam kolum ini juga, turut mengaitkan Saifuddin selaku perasmi majlis.

Dalam buku itu, Zaini mengungkapkan fenomena yang menyedihkan di universiti hari ini: “Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.

“Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus, malah semakin pupus melawan arus masa.

“Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi.

“Kalaupun ada jarang-jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan dengan segala perkiraannya supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. …

“Keadaan ini mewujudkan persekitaran akademik yang agak pudar dan mengurangkan aktiviti serta kemeriarahan dalam konteks percambahan daya fikir dalam komuniti akademik.”

Akhirnya, pesanan untuk semua, termasuk dan terutamanya, untuk saya sendiri, marilah bersama-sama kita menghidupkan Ramadhan lutfi_detik@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: