RSS Feed

Pendengar yang setia

Posted on

When people talk, listen completely. Most people never listen.’ – Ernest Hemingway.

listen

2746

mesyuarat

Kalau seorang pemimpin itu hanya mementingkan populariti, bertindak secara sendirian dan tidak mematuhi arahan mesyuarat, mesyuarat dalam mesyuarat. Pemimpin sebegini wajar ditolak, walaupun dia berstatus ulamak


Kepimpinan Ulama’ : Membina Karisma Kepimpinan.

Oleh Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat


Kepimpinan adalah jentera utama bagi sebuah organisasi , apatah lagi bagi sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam seperti PAS .

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, telah diketahui umum bahawa teras kepimpinannya ialah Kepimpinan Ulama’ dimana ianya telah diasaskan sejak awal 80an lagi .

Namun ia tidaklah boleh dibiarkan mengambil tempoh sekian lama tanpa kepimpinan ini dimuhasabah dan diperkasakan dari masa ke semasa terutama bagi melengkapkan keperluan jamaah dan tuntutan perjuangan yang kian mencabar dewasa kini .

Bahkan kepimpinan parti [ PAS ] janganlah berasa selesa dengan tahap prestasi yang dimiliki melainkan mestilah secara jujur dan bertanggungjawab berusaha segigih mungkin untuk mempertingkatkan kualiti kepimpinan . Sekurang – kurangnya menghampiri garis kepimpinan yang menepati piawaian standard dalam pengurusan organisasi dan juga pengurusan sumber manusia [ ahli / anggota parti ] .

Justeru itu karisma kepimpinan yang berteraskan Kepimpinan Ulama’ ini janganlah terhenti di atas penguasaan ilmu agama semata – mata [ tanpa menafikan kepentingannya ] , tetapi mestilah mempunyai kredebiliti dalam menangani peraturan dan arahan gerakkerja dalaman parti serta mendepani strategi dan tindakan terhadap isu atau perkembangan politik .

Sewajarnya kita menyedari bahawa PAS bukanlah halaqah pengajian Fardhu Ain atau Sidang Fatwa yang mana tidak mengapa jika kepimpinan hanya memantau dari jauh atau ’slow’ dalam tindakan . Sekadar menanti kalau ada isu yang bertentangan dengan agama untuk bersuara dan bertindak .

Sebaliknya PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang selayaknya aktif dan agerasif meredah cabaran malah membelah halangan membentuk laluan untuk Islam di daulatkan serta menangani isu ummah lantas menjuarainya , maka kepimpinan PAS mestilah kepimpinan yang aktif , hidup dan bertenaga dalam menggerakkan seluruh jentera dan organ parti ke arah mencapai matlamat perjuangan .

Kepimpinan Yang Pasif Tidak diperlukan .

Menyedari zaman yang penuh dengan ancaman dan halangan malah 1001 kesulitan terpaksa dihadapi , ditambah pula kekurangan tenaga dan upaya untuk mendepani segala tahaddiyat ini , meletakkan beban amanah itu semakin besar dan berat kepada pemimpin parti .

Mereka tidak boleh bersikap sambil lewa , hadhir mesyuarat dengan ‘kepala kosong’ tanpa idea , lebih malang jika gagal menghadhiri mesyuarat sedang potfolio yang disandangnya adalah sandaran parti untuk mencapai objektif dan matlamat perjuangan .

Kepimpinan yang berwibawa pula berkarisma , ialah kepimpinan yang mampu menggerakkan diri , lajnah dan anggotanya bagi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya . Malang 1001 kali malang jika kepimpinan yang dipilih dan dilantik sekadar menjadikan jawatan itu sebagai populariti atau mengambil manafaat dari title berjawat untuk penampilan diri dalam parti .

Lebih malang kepimpinan pasif ini menjadi penghalang kepada individu – individu tertentu yang memiliki kemahuan dan kesungguhan untuk melaksanakan tugas serta amanah perjuangan tetapi tidak boleh berbuat demikian lantaran tiada ruang kerana tidak berjawat . Kuota pilihan dan lantikan kepimpinan telah dipenuhkan oleh mereka yang tidak berfungsi .

Kepimpinan Pasif ini biasanya hadhir mesyuarat sekadar menongkat dagu dan merenung meja mesyuarat tanpa idea bernas apalagi kertas kerja yang menggariskan tindakan yang perlu dilaksana . Tambah memalukan jika wujud pula “mesyuarat” dalam mesyuarat atau sebarang aksi dan perlakuan sengaja yang jelas menunjukkan sikap tidak menghormati mesyuarat .

Kepimpinan Kalut tidak menambah Kebaikan parti

Sebagaimana kepimpinan pasif tidak diperlukan oleh parti malah mengganggu kelancaran gerakkerja parti dalam melangsungkan misi dan visinya , kepimpinan kalut juga tidak menambah kebaikan dan kekuatan organisasi . Sebaliknya kekalutan itu membuatkan organisasi menjadi semakin kusut dan tidak menentu .

Kepimpinan kalut ini mungkin banyak cakapnya dalam mesyuarat tetapi hanya sekadar menyampuk serta mengkritik aktiviti dan gerakkerja yang dibuat oleh pihak lain sedang tugas atau tanggungjawab sendiri diabaikan malah dilepaskan dengan cukup bijak melalui kepetahannya berkata – kata .

Terkadang kalut dengan 1001 idea tetapi malang , idea itu gagal dilaksanakan walau hanya satu dari idea tersebut . Akhirnya mesyuarat menjadi bising dan hingar seperti pasar tetapi tidak mehadhirkan natijah yang positif dan keputusan yang baik untuk dilaksanakan .

Kepimpinan Ulama’ mesti bersih dari imej hambar ini .

Andai kepimpinan yang telah saya sebutkan itu benar – benar berlaku , tentulah ia melakar imej yang negatif kepada institusi Kepimpinan Ulama’ .

Justeru itu , semua pihak bertanggungjawab berusaha meletakkan kepimpinan parti sebagai kepimpinan yang dinamis . Jika melibatkan individu ulama’ yang alim dan faqih maka mestilah individu tersebut bertindak aktif dan profesional dalam tindakan sebagai penjawat amanah dalam parti agar dilihat kepimpinan ulama’ aktif , cerdas dan cergas .

Sementara yang melibatkan individu profesional dan aktivis pula , mestilah individu terbabit melandaskan tindakan mereka berasaskan feqh Islami agar dilihat pula sebagai kompenan institusi Kepimpinan Ulama’ yang tidak tersasar dari ketulenan manhaj perjuangan Islam .

Tegasnya , kepimpinan Ulama’ bukanlah merujuk kepada batang tubuh individu ulama’ yang wujud dalam parti tetapi berasaskan kolektif kepimpinan parti yang mendasarkan matlamat , tindakan dan hala tuju perjuangan di atas keputusan dan pemantauan syura ulama yang telah diinstitusikan di dalam parti .

Peranan Perwakilan menjelang Muktamar

Muktamar parti memberi hak kepada anggotanya memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti sekaligus memacu tindakan ke arah menepati objektif dan mencapai matlamat perjuangan . Menginsafi realiti tersebut , tugas perwakilan tidaklah mudah dalam membuat pilihan mengenegahkan pemimpin yang layak dan mengangkat pemimpin yang memiliki karisma .

Pemilihan tangkap muat , pangkah borong dan ikut mana yang sempat sama lah rendah kualitinya dengan cara memilih pemimpin berasaskan populariti atau mana yang pandai ceramah tapi zero prestasi kerjanya . Juga jelas tidak benar jika pemilihan itu turut berasaskan kroni bukan berasaskan merit .

Perwakilan mestilah terlebih dahulu benar – benar mengenal pasti calon yang yang akan dipilih agar tidak salah pilih atau memilih mereka yang tidak banyak membantu parti . Secara umumnya , calon parti PAS semuanya baik dari segi akhlak dan ikhlas pula dari segi niat . Tetapi kepimpinan tidak cukup sekadar baik akhlak dan ikhlas niat tetapi mestilah ada kesungguhan bekerja dan berjuang dan mampu menangani berat beban tanggungjawab yang digalas .

Peranan individu yang dicalonkan .

Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan tetapi adalah satu taklif atau tanggungjawab yang mesti ditunai . Janganlah menjadikan jawatan sekadar untuk disandang sedang kita menyedari bahawa kita tidak bersedia untuk memimpin . Alangkah jika kita dengan rendah diri boleh menarik diri lalu memberi laluan kepada mereka yang berkelayakkan dan mampu menunaikan tugas dengan baik .

Apa yang kita fikir ialah untuk perjuangan yang kita dokong agar ianya digerakkan dengan sebaik mungkin bukan tergendala pergerakkannya ekoran kepimpinan yang pasif dan bersahaja dalam parti .

Namun saya berpendapat , jika ada dikalangan kita mendapat pencalonan , maka bersedialah untuk memikul tanggungjawab perjuangan ini sebaik mungkin dan mohonlah petunjuk Allah swt agar dikurniakan petunjuk dan kekuatan bagi melaksanakan tugas besar perjuangan ini . Tekad dan ikrarlah untuk menunaikan amanah yang bakal digalas .

Pun begitu , kita tahu akan keupayaan kita sendiri . Jika ada orang yang lebih layak daripada kita , pastinya tanggungjawab itu mesti diserahkan kepada mereka yang lebih layak dengan kita menarik diri lalu ruang dan peluang itu diberi kepada mereka .

Peranan Pemimpin yang telah dipilih dan dilantik .

Kepimpinan ini adalah masu’uliyah yang akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak . Jawatan yang disandang sekali lagi saya tegaskan bukanlah sebagai satu kemuliaan jauh sekali satu keseronokan sebaliknya ia menjadi ujian besar buat kita membuktikan ubudiyah kita kepada Allah swt . sejauh mana kita bersedia menunaikan amanah apabila amanah itu diserahkan kepada kita . mengabaikan amanah tentu sahaja satu pengkhianatan dan kelak kita akan dihukum oleh Allah swt .

a ] Kenal pasti bidang tugas , kemudian cari jalan dengan segala upaya bagi menunaikan tanggungjawab dengan memberikan apa yang terbaik dari kita buat perjuangan suci ini .

b ] Perjuangan ini diurus tadbir secara berjamaah , justeru itu elakkan bertindak secara Lone Rangers atau Zorro . Kita bukan mengejar populariti secara individu jauh sekali publisiti diri . Sebaliknya kita mengangkat wadah perjuangan dan berjuang secara kolektif .

c ] Meskipun sukar dan penat memikul beban amanah perjuangan ini , sebagai pemimpin kita selayaknya bertahan dengan segala upaya yang kita miliki . Jangan manja dan jangan pula cepat merajuk .

d ] Selia perjuangan ini dengan semangat dan jiwa yang tenang . Jangan terlalu ikut “angin pasang surut” kita yang tidak menentu itu kerana ia menganggu prestasi . Berjuanglah dengan kesedaran dan kewajaran bukan mood dan perasaan .

e ] Dekatkan diri kepada Allah swt menjadikan kita kuat dan bertenaga menangani kerencaman masaalah perjuangan , dalaman atau luaran .

f ] Bertanggungjawab terhadap ahli biar pun hanya ahli biasa dengan memimpin mereka dan hidup bersama mereka . Tiada kepimpinan elit dalam perjuangan Islam sebagaimana tiada juga pemimpin yang kalis tarbiyah .

g ] Tunjangi tindakan dengan prinsip istisyarah dan istikharah agar kepimpinan kita biarpun dalam apa jua sentuhan yang kita lakukan tidak terhindar dari petunjuk Allah swt .

h ] Miliki semangat setia kawan berasaskan ukhuwwah fillah , basmi politik cantas sesama sendiri , jangan biarkan tenaga terbiar atau terbuang serta berlaku adil dalam tanggapan dan tindakan

i ] Berdisiplin , berakhlak , beradab dan thiqah sesama sendiri , dengan jamaah dan terhadap pimpinan jamaah .

**************************************************

MANUAL PENGENDALIAN MESYUARAT

Mesyuarat merupakan suatu amalan penting dalam mana-mana organisasi yang aktif dan cemerlang. Bagaimanapun ini tidak bermakna, mesyuarat perlu diadakan dengan kerap. Kekerapan mesyuarat biasanya ditentukan oleh undang-undang tubuh atau perlembagaan organisasi yang menyebut bilangan minima mesyuarat yang perlu diadakan pada setiap tahun.

1. Mesyuarat Mingguan

Apabila organisasi menjadi semakin besar, bilangan ahli semakin ramai dan organisasi mempunyai pekerja tetap, maka mesyuarat mingguan biasanya elok diadakan oleh pihak pengurusan tertinggi bagi membincangkan hal ehwal pengurusan dan perjalanan organisasi.

2. Mesyuarat Bulanan atau berkala

Mesyuarat ini lazimnya diadakan dengan ahli-ahli organisasi bagi menyampaikan maklumat, merancang program, membuat keputusan, mendapatkan pandangan ahli dan menggerakkan organisasi.

3. Fungsi Mesyuarat

1. Memastikan matlamat, polisi dan halatuju organisasi tercapai.
2. Merancang sesuatu, membuat keputusan dan mengambil tindakan segera.
3. Mewujudkan kesatuan fikrah danamalan dalam organisasi.
4. Memantapkan ikatan persaudaraan ahli-ahli:kerjasama, rasa kekitaan,
5.Membuat keputusan bersama.
6.Menilai kekuatan dan kelemahan organisasi dari masa ke semasa.

4. Persediaan Mengadakan Mesyuarat

1. Setiausaha PAS hendaklah mengedarkan notis panggilan iaitu 14 hari sebelum tarikh mesyuarat. Bagi mesyuarat-mesyuarat yang dicatatkan di dalam perlembagaan atau manual organisasi, khususnya mesyuarat tahunan atau bulanan, notis panggilan mesyuarat hendaklah diedarkan sekurang-kurang seminggu sebelum mesyuarat diadakan.
2. Notis panggilan mesyuarat hendaklah memberikan maklumat lengkap mengenai tarikh, masa dan tempat mesyuarat diadakan. Disamping itu, notis tersebut hendaklah sertakan bersama agenda mesyuarat supaya ahli boleh membuat persediaan lebih awal untuk mengikuti mesyuarat dengan lebih aktif dan bertanggungjawab.
3. Notis panggilan mesyuarat harus mengingatkan ahli supaya membawa notis panggilan mesyuarat, agenda mesyuarat, minit mesyuarat yang diedarkan serta dokumen penting atau kertaskerja yang diperlukan untuk mesyuarat.
4. Keputusan untuk menentukan tarikh, masa dan tempat mesyuarat harus mengambilkira kemudahan untuk ahli hadir.
5. Persediaan lain termasuklah pembesar suara, makanan dan minuman, dokumen untuk edaran di mesyuarat dan kebersihan tempat mesyuarat yang harus diberi perhatian.

5. Peranan dan Tanggungjawab Pengerusi

1. Mengalu-alukan kehadiran, ucap syukur dan terima kasih.
2. Memberi kata-kata aluan atau pengumuman penting/perlu.
3. Menentukan objektif mesyuarat.
4. Merujuk kepada agenda mesyuarat yang ditetapkan.
5. Menjemput ahli membentangkan sesuatu kertas jika ada.
6. Mempelawa ahli memberi pandangan.
7. Memberi ingatan terhadap tindakan yang perlu diambil.
8. Merumuskan perbincangan.
9. Menunjukkan sikap toleransi, peka, bersedia mendengar, tidak pilih kasih, bertimbangrasa,
kerjasama tetapi tegas.
10.Mengucapkan terima kasih sekali lagi sebelum menutup mesyuarat.

6. Ciri-ciri Mesyuarat Yang Baik

1. Perjalanan mesyuarat mengikut agenda yang berstruktur.
2. Perbincangan berfokus dan tidak menyimpang atau meleret-leret.
3. Pengesahan minit mesyuarat hanya dibuat oleh ahli yang hadir pada mesyuarat lalu dan bukan pemerhati.
4. Masa diberikan dengan baik bagi membincangkan semua agenda. Tempoh masa perbincangan Hal-hal lain tidak harus lebih panjang dari tempoh masa perbincangan agenda-agenda penting yang lain. Hal-hal lain bukanlah agenda penting tetapi sekadar makluman dan perbincangan segera.
5. Sekiranya tempoh masa mesyuarat telah tamat dan agenda masih belum dapat diselesaikan, maka Pengerusi boleh memberhentikan mesyuarat dan memanggil satu perjumpaan khas bagi membincangkan agenda yang boleh dianggap amat penting.
6. Mesyuarat berjalan lancar, harmoni dan hampir kesemua ahli berpuashati di akhir mesyuarat.
7. Tidak berlaku “ mesyuarat-dalam-mesyuarat” sindrom bisu dan pasif.
8. Mesyuarat tamat dalam tempoh yang ditetapkan.

7. Selepas Mesyuarat

1. Peringatan diedarkan kepada ahli berkenaan untuk tindakan susulan segera. Minit mesyuarat disediakan oleh Setiausaha, disemak oleh Pengerusi dan diedarkan kepada ahli seminggu selepas mesyuarat.
2. Semua Minit mesyuarat adalah RAHSIA parti.

8. Penyediaan Minit Mesyuarat

1. Minit Mesyuarat adalah suatu dokumen yang amat penting yang merekodkan perbincangan dan keputusan yang diambil oleh sesebuah organisasi dalam sesuatu mesyuarat. Minit mesyuarat sering dijadikan bahan rujukan samada bagi tindakan susulan dan keperluan masa depan bagi sesuatu organisasi dan mereka-mereka yang memerlukan termasuklah pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan, Polis dan M ahkamah. Oleh itu, setiap minit mesyuarat hendaklah dicatat dengan jelas, bersistematik dan tepat serta dipelihara dengan baik.
2. Bagi sesuatu mesyuarat biasa, cukup sekadar seorang pencatat sahaja, pada kebiasaannya setiausaha, bagi mencatitkan perbincangan mesyuarat. Bagi Mesyuarat Agung pula, pada lazimnya dua orang pencatat minit mesyuarat akan dilantik bagi merekodkan pelbagai perkara penting yang berlaku di dalam mesyuarat tersebut yang melibatkan kehadairan ramai.

3. Setiap perkara perbincangan boleh dicatatkan mengikut kategori di bawah, jika perlu:
a. Mesyuarat mengambil ingatan
b. Mesyuarat bersetuju mengambil keputusan
c. Mesyuarat bersetuju meluluskan
d. Mesyuarat bersetuju sebulat suara

Diolah dari Manual Setiausaha UKJ DPP Gombak 09

UNIT SEKRETARIAT
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

**********************************************************

Benarkah Kita Berjuang … ?

Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?
Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah swt. tiba – tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi [ malas ]
Kenapa jadi begitu ? adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat ?
Ketahuilah ! sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu , berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt. adalah sangat kecil nilainya disisi Allah swt .
Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan , nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih .
Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 – 39
Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita berjuang ?
Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri .
Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .
Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata – mata kerap menghadhiri ceramah – ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program – program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !
Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .
Benarkah kita berjuang ? , sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .
Benarkah kita berjuang ? , seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah – seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita . Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman . Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka – muka .
Benarkah kita berjuang ? , suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah . Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan .
Benarkah kita berjuang ? , kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka , maka kita tolak mentah – mentah . Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .
Benarkah kita berjuang ? , kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin . Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calun pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan . Soal mampu atau tidak , soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran . Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita .
Benarkah kita berjuang ? , wala’ atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .
Benarkah kita berjuang ? , hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita . Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non muslim . Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri . Kita orang PAS ceramah pasal PAS dalam markas PAS kepada orang PAS , habis tu bila Islam ni nak lePAS ?
Benarkah kita berjuang ? , peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan . Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati . Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam . Penampilan diri juga dinuetralkan agar tidak dianggap fundamental .
Benarkah kita berjuang ? , kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan . Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang , jauh sekali untuk rakyat yang terhimpit . Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah meluka perasaan anggota jamaah sendiri .
Benarkah kita berjuang ? , ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .
Benarkah kita berjuang ? , kadang – kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri . Kita sebut kepimpinan ulama’ tetapi kita tidak beradab dengan ulama’ . maki hamun ulama’ dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa .
Benarkah kita berjuang ? , kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan . jamaah kita ni gerakan Islam ke ? atau parti politik semata ? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati . Matlamat kita , dustur kita , landasan kita , ikutan kita , cita – cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita . malang , sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula .
Benarkah kita berjuang ? , banyak sungguh dosa kita . Makin berjuang makin tambah dosa . Dosa mengumpat , dosa mengutuk , dosa salah sangka , dosa mencantas , dosa memfitnah , dosa menipu , dosa tidak taat kepada pimpinan , dosa tidak tunai amanah perjuangan , dosa dedah rahsia jamaah , dosa khianat kepada sahabat seperjuangan , dosa hipokrit , dosa melukakan hati anggota jamaah , dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah , dosa mata , dosa tangan , dosa kaki , dosa telinga , dosa mulut , dosa hati , dosa otak , dosa …. , dosa …. , dosa …..dan dosa …..
Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .
hayya bina nu’min saah ! ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung [ introspection ] jauh ke dalam jiwa kita . Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri , sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri dipihak benar . Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf , jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri .
Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .
Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita berjuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .
Selamat berjuang sahabat ku !

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: